Tuesday, 31 January 2012

SOAL JAWAB - ALAT MUZIK BERTALI



IMAM AL-GHAZALI R.A BERKATA
"Tidak ada keterangan yang jelas daripada sunnah Nabi SAW yang melarang penggunaan alat muzik. Setiap instrumen muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak dilarang. Seni muzik yang dilarang kepada umat Islam ialah sekiranya bersekongkol dalam keadaan yang bercampur dengan kumpulan peminum arak, penzina, dan perbuatan berdosa yang lain. Sebab pengharaman alatan yang dipetik (misalnya gitar) dan ditiup (misalnya serunai) sebagaimana yang disebut dalam hadis Nabi SAW bukan kerana alatan tersebut menimbulkan kelazatan kepada pendengar tetapi pengharaman alatan yang disebut dalam hadis-hadis Nabi SAW kerana alatan tersebut biasa digunakan oleh ahli-ahli fasiq, maksiat, serta peminum-peminum arak dan menjadi syiar mereka. Adapun begitu, muzik tidak haram dari segi irama atau bunyinya. Sebab menjadikannya haram ialah unsur-unsur luaran yang lain iaitu kerana alatan yang biasa digunakan dalam majlis-majlis dan tujuan-tujuan yang bertentangan dengan batas syarak. Penggunaan alat-alat tersebut juga mestilah berlegar dalam lingkungan yang dibenarkan syarak."

Kesimpulannya, harus bermain dengan semua jenis alat muzik selagi tidak melalaikan dan bercampur dengan maksiat.

SOAL JAWAB - HUKUM LELAKI PAKAI EMAS, PERAK, ATAU PLATINUM



1. Perak (cincin) - Tidak dilarang memakai, terpilih bagi lelaki kerana merupakan sunnah Nabi SAW.

ANAS R.A BERKATA
"Tatkala Nabi ingin menulis surat kepada orang Rom, Baginda telah diberitahu bahawa mereka tidak akan membaca mana-mana surat melainkan ada cap ke atasnya, maka baginda pun mengambil cincin peraknya. Bagaikan seperti aku melihat sesuatu yang berkilat di tangannya, dan diukir dengan perkataan Muhammad Rasulullah."

IBNU TAIMIYAH R.A BERKATA
"Bagi cincin perak dibenarkan, menurut sepakat imam-imam, kerana sesungguhnya sahih datang daripada riwayat bahawa Nabi SAW memiliki cincin perak, dan sesungguhnya para sahabatnya juga memakai cincin.

2. Emas (termasuk emas putih) - Diharamkan oleh sepakat imam-imam yang empat.

3. Platinum - Logam berlainan daripada emas, berwarna putih keabu-abuan, tahan karat, digunakan dalam (perhiasan, peralatan makmal, gigi, peralatan mengawal pembebasan asap kenderaan), dan berbeza daripada emas putih. Halal dipakai.
                



Saturday, 28 January 2012

UTAMAKAN ANGGOTA KANAN MEMBAWA BERKAT




HADIS RIWAYAT MUSLIM - DARIPADA AISYAH R.A
"Rasulullah SAW lebih suka mendahulukan yang kanan dalam segala keadaan (perbuatan) seperti memakai terompah, bersikat, berwuduk, dan mandi."




HADIS RIWAYAT AL-BUKHARI - DARIPADA ABU HURAIRAH R.A
"Jika kamu memakai sandal (kasut), pakailah yang kanan terlebih dulu. Tetapi jika membukanya, yang kiri dulu dibuka. Maka yang kanan adalah yang mula-mula dipakai dan yang terakhir dibuka."




HADIS RIWAYAT MUSLIM - DARIPADA SALMAT BIN AL-AKWAA'
Seorang lelaki makan di sisi Rasulullah SAW dengan tangan kirinya lalu Baginda menegurnya dengan bersabda: "Makanlah dengan menggunakan tangan kananmu. Lelaki itu menjawab: Aku tidak berupaya berbuat demikian. Baginda bersabda lagi: Kamu tidak berupaya? Sebenarnya tidak ada sesuatu yang menghalang kamu daripada berbuat demikian melainkan kerana didorong oleh perasaan sombong. Salmat berkata: Orang itu akhirnya tidak dapat mengangkat tangan kanan ke mulutnya (cacat selamanya)."  


Wednesday, 25 January 2012

RENUNGI KEHIDUPAN INGATI KEMATIAN


HADIS RIWAYAT IMAM AL-TIRMIDZI
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas daripada seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras, berat)."
 
SYAIR ARAB
"Aku tinggalkan tempat tidurku pada satu hari, kemudian aku terserkap membisu. Aku telah berpindah dari satu tempat menuju tempat lain. Aku berangkat pergi dari ranjang tidur dalam istanaku menuju alam lain. Kubur adalah malam pertama. Demi Allah katakanlah apa yang terjadi pada malam itu. Yang Allah pasti mentakdirkannya pada setiap hamba."

AL-RIFA'I BERKATA
"Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan: Dulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dulu lidahnya petah bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam."

UMAR BIN ABDUL AZIZ BERKATA
"Wahai fulan! Engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir mengenai kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu apakah keadaan sebenar dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya."